Headline: Setia Brothers keluar pil susu kuda liar
Publication: BH
Date of publication: Sep 10, 2012
Section heading: Bisnes
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Anwar Hussin
Kota
Bharu: Keajaiban susu kuda liar yang menyelamatkan nyawa saudaranya
daripada penyakit kanser, membuatkan seorang bekas pegawai polis di
Bukit Aman, Kuala Lumpur, tidak menoleh ke belakang lagi untuk menceburi
bidang perniagaan berasaskan produk itu.
Bekas
Asisten Superintendan, Nek Abd Rahman Salleh, 56, yang juga dikenali
sebagai `Lelaki Koboi’ kerana imejnya yang sentiasa bertopi koboi dan
berseluar jeans berkata, ketaksubannya terhadap kuda juga menyebabkan
menternak sejumlah kuda liar di sebuah pulau di luar negara.
“Apabila saudara saya sembuh daripada penyakit kanser selepas minum susu kuda liar, minat saya terhadap kuda semakin bertambah.
Perniagaan berasas susu
“Saya
dan isteri, Norhayati A Rahim, menceburi bidang perniagaan berasaskan
susu kuda liar pada 1996. Kami menternak sejumlah kuda liar di sebuah
pulau di luar negara bagi tujuan mendapatkan susunya sebelum dijadikan
makanan tambahan dalam bentuk kapsul yang dinamakan sebagai Niemans
Feramilch Capsule,” katanya ketika ditemui BH di Kota Bharu, barubaru
ini.
Produk
berkenaan yang disifatkan alternatif kepada perubatan moden selepas
diuji secara saintifik di makmal oleh penyelidik Universiti Putra
Malaysia (UPM) dan hasilnya menunjukkan sel kanser yang dititiskan susu
kuda liar berkurangan kira-kira 60 peratus.
Terima Pengiktirafan
Menceritakan
mengenai kejayaannya mengorak langkah dalam bidang bioteknologi sejak
16 tahun lalu itu, Nek Abd Rahman yang juga Pengasas dan Penasihat Setia
Brothers Sdn Bhd manakala isterinya, Norhayati, sebagai Pengarah
Urusan, menegaskan individu yang ingin berjaya dalam bidang yang
diceburinya perlu berfikir ‘di luar kotak’ dan mempunyai pengurusan masa
yang strategik.
Beliau
yang juga penerima Anugerah Inovasi Pusat Kecemerlangan Oxford
(OXCELL), United Kingdom, pada tahun lalu, berkata, Niemans Feramilch
sudah mencapai tahap piawaian yang ditetapkan oleh Bahagian Keselamatan
dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Nek
Man juga minat mendalam terhadap aktiviti sukan berkuda, juga
menjalankan aktiviti berkaitan ekuin di Taman Pameran Pertanian Serdang
(MAEPS) dengan mengadakan modul ekuin kepada mereka yang minat.
Sementara
itu, Ketua Laboratori Penyelidikan Kanser UPMMAKNA, Institut Biosains,
UPM, Prof Dr Rozita Rosli mengesahkan UPM menjalankan kajian saintifik
terhadap susu kuda liar pada 1997.
“Ketika itu, tiada kajian saintifik lain dilakukan terhadap kesan susu kuda kepada pesakit kanser dan UPM adalah perintisnya.
“Hasil
kajian UPM mendapati perbandingan membabitkan empat jenis susu iaitu
susu kuda liar, susu lembu, susu kambing dan susu manusia, membuktikan
susu kuda liar adalah susu paling menyamai susu manusia dan mempunyai
ciri penyembuhan terhadap penyakit tertentu.
“Fokus
utama kajian adalah terhadap mekanisme tindak balas susu kuda baka
Niemans bagi sel kanser iaitu dua jenis penyakit leukemia dan seterusnya
terhadap empat jenis sel kanser iaitu kanser serviks, kanser ovari,
kanser payu dara dan kanser usus.
“Dalam
kajian in-vitro yang dilakukan di makmal terhadap sel leukemia dari
manusia, antara 50 hingga 60 peratus pengurangan dapat dilihat dari segi
jumlah kematian sel kanser,” katanya.